Kenapa Jutawan Gaharu

Ramai yang telah mengetahui betapa mahalnya harga gaharu. Sedikit yang nekad memulakan langkah menanam pokok karas. Bagaimana rupa dan bentuk pokok karas, kaedah penanaman dan pembajaan, spesis terbaik untuk ditanam dengan iklim panas lembab di Malaysia, teknik suntikan dan kebenaran kejayaan inokulan lalu akhirnya saiz pasaran gaharu itu sendiri yang membenak di fikiran. Sebolehnya persoalan itu cuba dirungkaikan disini. Pepatah melayu ada menyebut kalau tidak dipecahkan ruyung mana kan dapat sagunya. Saya yakin kalau tidak ditanam karas mana kan dapat gaharunya.Tak dapat tanam 1o ooo pokok karas, tanam 1ooo pokok pun Alhamdulillah, Saya percaya Something is better than nothing.




Sunday 14 September 2014

Selak Tingkap Selepas 1 Bulan Injek IGB

Balik dari pekan sehari jam 11 pagi membawa ibu membeli makanan kegemarannya. Ikan patin, jeruk petai, ikan patin pekasam, ikan salai, rambutan, langsat dan beberapa jenis kuih dan sayuran. Memang agak berat untuk dijinjing sepanjang jalan pekan sehari. Maklumlah, pekan sehari Temerloh terkenal dengan deretan penjaja yang cukup jauh. Sememangnya saya hanya melepasi tidak sampai separuh dari pekan sehari. Terlalu penat untuk meronda hingga ke hujung. 

Agak sakit tangan menjinjing berkilo-kilo makanan kegemaran ibu. Biasanya saya ditemani oleh 3 anak lelaki tetapi tidak hari ini. Ada rombongan sekolahnya ke Kuala Lumpur. 

Saya tidak membenarkan langsung ibu menjinjing barang beliannya meskipun hanya sebungkus daun kesum. Rasanya itu pun langsung tidak dapat membalas jasa ibu yang terlalu banyak terhadap saya sepanjang usia lebih 40 tahun ini. 

Sebaik sampai ke rumah ibu. Saya terus bersegera ke halaman rumah untuk Selak Tingkap pokok karas spesis Malaccensis. Pokok karas yang tumbuh liar di halaman rumah ibu. Melihat kesan tindakbalas IGB selepas 1 bulan inokulasi. Agak penat kerana saya perlu pulang ke Kuantan untuk menjemput anak sulung saya di sekolahnya. Balik dari rombongan sekolah. Sepatutnya saya berehat sebentar. 

Kelmarin saya baharu pulang dari Jasin, Melaka untuk Selak Tingkap pokok karas yang telah diinjek dengan IGB selepas 8 bulan. Insya Allah saya ceritakan kemudian. 



Spesis Malaccensis. Tumbuh liar di halaman rumah. 



Teknik Selak Tingkap dan ditebuk untuk melihat tindakbalas selepas 1 bulan inokulasi dengan IGB. 


Alhamdulilah. Selepas 1 bulan inokulasi. Tempat tersebut ditutup kembali dengan menggunakan stapler. Elakkan air masuk kerana ia akan merosakkan dan mereputkan  gaharu yang baharu mahu menjadi. 

Wednesday 10 September 2014

Kasih Seekor Tebuan

Petang kelmarin tatkala abang saya membantu memesin rumput disekeliling  rumah. Tebuan tanah mula berkeliaran kerana sarangnya diganggu. Itu adalah pemandangan biasa di rumah saya apabila mesin rumput melaksanakan tugasnya. Sudah terlalu kerap tebuan tanah berada di perkarangan rumah. Berpuluh puluh ekor jumlahnya. 

Bila melihat anak-anak saudara yang masih kecil berada diluar pintu tanpa mengetahui petaka yang bakal tiba angkara tebuan tanah, saya terus mencapai raket kepunyaan anak. Melakukan beberapa stroke laksana pemain bandminton amatur. Mangsanya adalah tebuan tanah yang berkeliaran. Puluhan tebuan tanah yang mati, terputus ekor. Ada hanya terus merayap rayap tanpa dapat terbang lagi. Bergelimpangan di atas rumput dan kawasan garaj kereta. 

Perkara yang tidak pernah saya lakukan. Jika ada tebuan tanah tersesat ke dalam rumah sekalipun saya hanya menghalaunya sahaja. 

Hampir lelah meraket tebuan tanah. Sangka saya ianya bakal pupus dalam beberapa minit lagi. Meleset. Sedikit hairan saya. Jumlahnya semakin banyak. Entah dari mana datangnya.

Saya berhenti meraket tebuan tanah. Mencari punca semakin banyak tebuan tanah yang datang menghampiri perkarangan rumah. Saya mengira jika saya terus meraket tebuan tanah itu, sehingga maghrib pun tebuan tanah tidak berkurang. 

Subhanallah. Maha suci Allah. Rupanya tebuan tanah yang semakin banyak itu datang untuk membantu saudaranya yang cedera akibat diraket.  Mula mula seekor, kemudian 2 ekor sehingga 3 ekor tebuan tanah membantu saudaranya yang cedera. Subhanallah. Saya cukup terkejut. Sudah puluhan tebuan tanah yang saya cederakan. Pada kiraan saya sebanyak 3 kali ganda tebuan tanah yang menghampiri untuk membantu tebuan tanah yang lain. Allah maha besar. 

Tebuan tanah yang cukup berbisa itu, sengatan yang mampu membunuh manusia. Sudah terlalu banyak manusia yang mati akibat sengatannya. Jika diperhatikan susuk tubuh dan matanya pun sudah nampak garangnnya seperti filem 'Terminator'. Namun begitu begitu kasihnya  mereka kepada saudara sendiri. 

Saya dapat merasakan kasihnya seekor tebuan tanah. Kasih yang sanggup mati untuk saudaranya. Saya tekad merakam gambar kasihnya tebuan tanah. Mengambil risiko dengan dikelilingi berpuluh puluh tebuan tanah yang datang membantu saudaranya. Tebuan tanah yang sengatannya bisa membawa maut. Subhanallah. 

Adakah kita  sekasih itu terhadap saudara kita?



Tebuan tanah yang memberi bantuan terhadap saudaranya yang cedera denga penuh raya kasih dan berani. 

Tuesday 9 September 2014

Teknik Selak Tingkap

Jika sebelumnya saya banyak menakik pokok karas menggunakan parang untuk melihat tindakbalas IGB terhadap pokok karas. Kini saya semakin kurang menakik pokok karas. Sebabnya Kesan takikan tersebut menyebabkan air masuk melalui tempat yang dicedera dan mereput dibahagian tersebut. Sayang pokok karas yang telah diinokulasi sekian lama lalu akhirnya mereput akibat kegelojohan sendiri. 

Lebih malang lagi keseluruhan pokok mereput terutama jika ditakik pada paras yang tinggi. Air masuk dari paras yang ditakik dan terus mereput hingga ke bawah. 

Pokok karas yang belum diinokulasi tidak membawa bekas jika ditakik sebegitu. Tetapi selepas diinjek dengan IGB, pokok karas semakin kurang kuasa pemulihannya dan akhirnya terpaksa mengalah pada air yang masuk lalu mereput. 

Saya kongsikan teknik Selak Tingkap untuk melihat gaharu didalam pokok karas dengan mengurangkan risiko pokok mereput. Insya Allah. 

Kulit pokok karas dipotong menggunakan pisau yang tajam. Lebar dalam 5 inci dan panjang 7 inci. 


Tebuk menggunakan pahat selebar 1 inci. Tebuk betul betul di bawah tempat Injek pada jarak 6 inci. Tebuk samada ke atas atau ke bawah. Inilah hasil inokulasi 11 minggu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. 


Tutup kembali kulit tersebut. Rapatkan sebaiknya. Kemudian staple menggunakan stapler. Insya Allah kulit pokok kembali bertaut dan risiko reput akibat luka yang dibuat dapat dikurangkan. 

Semoga ada manfaatnya. 



Saturday 6 September 2014

Bengkel Kebangsaan Inokulasi Gaharu 2014

Beberapa hari sebelum Bengkel Kebangsaan Inokulasi Gaharu 2014 yang berlangsung pada 16 - 17.04.2014, Cik Aminah Saad yang cukup terkenal dengan laman blognya http://gaharuinfo.blogspot.com telah menghubungi saya memaklumkan kekosongan sebagai salah seorang pembentang kertas kerja berkenaan inokulasi yang bakal diadakan di Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah. 

Saya cukup gembira dengan pelawaan tersebut. Saya menghubungi sahabat gaharu saya di Bangi, Selangor iaitu Tuan Hj Shamsor untuk menemani saya ke sana. Maklumlah saya tidak punya kenalan yang turut hadir di Bengkel Kebangsaan Inokulasi Gaharu 2014 tersebut. 

Jam 8 malam 15.04.2014 saya bertolak dari Kuantan, Pahang menuju ke Bangi, Selangor untuk mengambil sahabat gaharu saya. Saya tiba jam 3.30 pagi di rumahnya dan kami bergegas ke KLIA. 

Penerbangan kami tertunda sehingga 3 jam dan saya tiba di Universiti Malaysia Sabah jam 2.45 pm. Lewat dari yang sepatutnya. Cukup penat tetapi kegembiraan saya mengatasi penat dek perjalanan yang menghampiri 19 jam. 

Bengkel inokulasi yang cukup menarik. Dipenuhi oleh lebih 5 jenis vaksin atau Inokulan untuk dibentangkan pada bengkel kali ini termasuk dari Malaysia, Indonesia dan Thailand. Keesokan harinya saya membuat demo Injek IGB dengan dibantu sahabat gaharu saya tuan hj Shamsor di ladang Datuk George di Papar, Sabah. Sungguh cantik ladang gaharunya. 

Rupanya ada ramai kenalan gaharu yang turut hadir di Bengkel Kebangsaan Inokulasi Gaharu 2014 ini. Alhamdulillah saya dapat bertemu dengan pakar pakar gaharu yang cukup hebat. Sangat banyak ilmu gaharu yang dapat saya kutip dari mereka. 

Bergambar kenangan dengan pakar-pakar gaharu. 


Selesai demo Injek IGB bersama sahabat gaharu dari Semenanjung Malaysia. 


Sijil penghargaan dirakam untuk kenang kenangan. 


Ucaptama dan perasmian sebelum demo Injek diteruskan. 


Semoga terus dipermudahkanNya. 



Friday 5 September 2014

Hasil Injek IGB selepas 11 minggu

Tanggal 31.05.2014 Tim Injek IGB telah selesai menginokulasi sejumlah 100 pokok spesis Aquilaria Subintegra di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. 

Kami berjanji untuk datang semula untuk melihat bersama sama tindakbalas pokok karas yang diinjek menggunakan IGB 

Tanggal 23.08.2014  kami bertandang lagi ke Kuala Pilah untuk melihat sendiri tindakbalas IGB seperti yang kami janjikan sebelumnya. 

Terima kasih tidak terhingga yang dapat saya rakamkan di sini atas layanan yang sungguh baik diberikan kepada kami. Cik Shafinaz dan suami yang bersusah payah menyediakan makan tengahari kepada kami. Masakan yang sehingga kini kami teringat ingat sedapnya. Masak lemak cili api. Kami buang rasa malu, menambah nasi ke pinggan. 




Inilah hasil Injek 11 minggu menggunakan IGB918. Formula IGB terkini. 


Antara kulat yang tumbuh di tempat yang di inokulasi menggunakan IGB. 

Semoga ada manfaatnya.