Beberapa hari sebelum Bengkel Kebangsaan Inokulasi Gaharu 2014 yang berlangsung pada 16 - 17.04.2014, Cik Aminah Saad yang cukup terkenal dengan laman blognya http://gaharuinfo.blogspot.com telah menghubungi saya memaklumkan kekosongan sebagai salah seorang pembentang kertas kerja berkenaan inokulasi yang bakal diadakan di Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah.
Saya cukup gembira dengan pelawaan tersebut. Saya menghubungi sahabat gaharu saya di Bangi, Selangor iaitu Tuan Hj Shamsor untuk menemani saya ke sana. Maklumlah saya tidak punya kenalan yang turut hadir di Bengkel Kebangsaan Inokulasi Gaharu 2014 tersebut.
Jam 8 malam 15.04.2014 saya bertolak dari Kuantan, Pahang menuju ke Bangi, Selangor untuk mengambil sahabat gaharu saya. Saya tiba jam 3.30 pagi di rumahnya dan kami bergegas ke KLIA.
Penerbangan kami tertunda sehingga 3 jam dan saya tiba di Universiti Malaysia Sabah jam 2.45 pm. Lewat dari yang sepatutnya. Cukup penat tetapi kegembiraan saya mengatasi penat dek perjalanan yang menghampiri 19 jam.
Bengkel inokulasi yang cukup menarik. Dipenuhi oleh lebih 5 jenis vaksin atau Inokulan untuk dibentangkan pada bengkel kali ini termasuk dari Malaysia, Indonesia dan Thailand. Keesokan harinya saya membuat demo Injek IGB dengan dibantu sahabat gaharu saya tuan hj Shamsor di ladang Datuk George di Papar, Sabah. Sungguh cantik ladang gaharunya.
Rupanya ada ramai kenalan gaharu yang turut hadir di Bengkel Kebangsaan Inokulasi Gaharu 2014 ini. Alhamdulillah saya dapat bertemu dengan pakar pakar gaharu yang cukup hebat. Sangat banyak ilmu gaharu yang dapat saya kutip dari mereka.