Kenapa Jutawan Gaharu

Ramai yang telah mengetahui betapa mahalnya harga gaharu. Sedikit yang nekad memulakan langkah menanam pokok karas. Bagaimana rupa dan bentuk pokok karas, kaedah penanaman dan pembajaan, spesis terbaik untuk ditanam dengan iklim panas lembab di Malaysia, teknik suntikan dan kebenaran kejayaan inokulan lalu akhirnya saiz pasaran gaharu itu sendiri yang membenak di fikiran. Sebolehnya persoalan itu cuba dirungkaikan disini. Pepatah melayu ada menyebut kalau tidak dipecahkan ruyung mana kan dapat sagunya. Saya yakin kalau tidak ditanam karas mana kan dapat gaharunya.Tak dapat tanam 1o ooo pokok karas, tanam 1ooo pokok pun Alhamdulillah, Saya percaya Something is better than nothing.




Showing posts with label candan. Show all posts
Showing posts with label candan. Show all posts

Monday, 6 September 2010

Candan Gajah

Gaharu Candan Gajah
Candan gajah merupakan salah satu spesis gaharu yang terdapat di Malaysia. Daun candan gajah hampir menyerupai daun aquilaria malaccensis. Bahagian bawah daunnya adalah berbulu yang mana adalah merupakan sifat utama candan. Bersesuaian dengan namanya sebagai candan gajah daunnya adalah sangat lebar berbanding daun spesis gaharu yang lain. Pada masa gambar ini diambil, panjang daunnya adalah sepanjang 5 inci. Batang pokoknya adalah berwarna kemerahan dan berbeza dengan aquilaria hirta (candan bulu) dan aquilaria malaccensis dan agallocha yang warna batang pokoknya agak keputihan. Ketinggian anak pokok pada masa gambar diambil adalah mencecah 7 kaki. Harga teras candan gajah dikatakan sangat mahal. Ini adalah bertepatan dengan sukarnya spesis candan gajah ini ditemui dan ditanam bagi tujuan komersial. Candan Gajah perlu ditanam dikawasan yang teduh dan tidak terlalu berbahang. Sekiranya ditanam di kawasan yang suhunya agak panas, daunnya mudah gugur dan kadar kematian adalah tinggi. Sungguhpun begitu ianya bukanlah terlalu sukar untuk ditanam asalkan ditanam ditempat yang redup dan disiram air secukupnya. Saya memperolehinya dari sahabat saya orang asli yang bersusah payah mencarinya di hutan Rompin pada penghujung 2009. Memandangkan pada pertengahan tahun 2010 yang lepas berlaku kemarau yang agak lama, saya menangguhkan sementara rancangan seterusnya untuk mendapatkan spesis candan gajah ini. Pada perancangannya saya akan mengusahakan untuk berjumpa sahabat saya orang asli  yang lebih mesra dipanggil Abang Wahab pada bulan Oktober 2010 ini untuk mendapatkan anak pokok candan gajah bagi ditanam di kebun gaharu / karas saya. Sekiranya ada yang berminat untuk mendapatkan spesis candan gajah ini bolehlah menghubungi saya.

Aquilaria Hirta - Candan

Candan - Aquilaria Hirta

 Aquilaria Hirta adalah antara spesis karas/ gaharu yang terdapat di Malaysia. Ianya lebih dikenali sebagai candan. Pokok candan hanya terdapat ditempat tempat tertentu sahaja. Meskipun di kampung saya pokok gaharu spesis malaccensis dan agallocha tumbuh merata rata dibelakang, depan kiri dan kanan rumah tetapi spesis candan ini tidak dikenali langsung. Bahkan spesis karas tersebut ada yang ditebas diracun begitu sahaja sebelum ini. Sekarang, masa telah berubah, saya lihat ramai yang mulai sedar dan ada yang memulihara pokok karas yang tumbuh sendiri dikebun kebun getah. Sungguhpun begitu sangat sedikit yang mengambil usaha menanam pokok gaharu sepertimana menanam pokok getah dan sawit. Berbalik kepada candan daunnya berbulu dibahagian bawahnya dan batang pokok berwarna tompok keputihan. Saya mendapatkannya dari sahabat saya orang asli di Rompin Pahang. Candan perlu ditanam di kawasan yang teduh dan mendapat siraman air yang mencukupi. Daunnya mudah gugur sekiranya syarat tersebut tidak dipenuhi. Melalui pembacaan saya, candan dikatakan mempunyai harga yang lebih mahal dari spesis karas yang lain menyebabkan saya begitu teruja untuk menanamnya. Menurut sahabat saya ini candan menghasilkan gaharu sendiri tanpa perlu ditakik. Bermakna tidak perlu stress atau suntikan untuk menghasilkan gaharu candan.  Candan boleh menghasilkan gaharu tanpa inokulan. Bermakna bila sampai masanya, tidak memerlukan  modal tambahan untuk membeli vaksin inokulan. Beliau dengan penuh kesungguhan dalam terkejut menceritakan pernah menjual gaharu jenis candan yang sebesar ibu jari tangan dan tidak sampai 100 gm pada harga RM900.00 kepada peraih gaharu.  Menurutnya pokok candan tu hanya sebesar lengan budak saja.  Bermakna kalau sepokok boleh menghasilkan RM900. Bagaimana pula kalau menanam sebanyak 1000 pokok untuk seekar dengan jarak 6' X 6'. Pasti sekurang kurangnya RM900000 boleh terhasil. InsyaAllah. Itu baru pada harga peraih, harga kita menjual sendiri berapa harga gamaknya.  Dia sendiri dengan penuh confident berkata kepada saya ketika saya tengah membelek belek beratus ratus pokok candan yang saya  tempah darinya, "Jadi juntawan engkau'" saya bertanya balik "apa dia abang wahab?" takut pulak kot kot saya perasan lebih. "Jadi juntawan engkau" ulangnya lagi. Saya bertanya lagi "jutawan?" dan dia menganggukkan kepala. Tanpa sedar bulat mata hitam saya dibuatnya. Saya pula yang terkejut. Jarang saya terkejut. Alamak... Dalam diam dia pun tahu. Handalnya.. Pepatah melayu sering meyebut, diam ubi berisi, nampaknya sekarang ini diam gaharu jutawan  engkau. Sekiranya ada yang berhasrat untuk menanam candan bolehlah menghubungi saya.

Saturday, 7 November 2009

Aquilaria Hirta (Candan)



Aquilaria hirta (candan) merupakan spesis gaharu terbaik. Ia merupakan spesis pohon/pokok gaharu yang tumbuh dikepulauan melayu khasnya Malaysia dan Indonesia. Ia menghasilkan gaharu/resin  yang lebih bermutu dan jauh lebih mahal dari aquilaria malaccencis. Ianya semakin sukar diperolehi kerana tumbuh di tempat tempat tertentu sahaja dan tidak seperti aquilaria malaccencis yang tidak sesukar candan untuk ditemui. Saiz batang pokok candan adalah lebih kecil berbanding aquilaria malaccensis. Saya mencari di merata tempat di pahang untuk mencari pohon/pokok candan ini dan setelah berbulan bulan mencarinya, Alhamdulillah akhirnya pada julai 2009 saya menemui orang asli di Daerah Rompin, Pahang bagi bagi membantu saya mendapatkan anak pokok candan ini. Daun pokok candan ini adalah berbulu dibahagian bawahnya dan bentuk daunnya adalah lebih lebar berbanding aquilaria malaccencis. Menurut sahabat saya orang asli tersebut yang lebih mesra dipanggil Abang Wahab, terdapat 3 jenis candan yang diketahuinya iaitu candan padi, candan gajah dan candan gunung. Dari segi penjagaannya anak pokok candan adalah mudah ditanam  sepertimana anak pokok gaharu yang lain seperti aquilaria subintegra, aquilaria crassna dan aquilaria malaccencis Pokok candan ini cepat bertindak balas terhadap kepanasan cuaca sekitarnya. Berdasarkan pengalaman saya dalam menjaga anak pokok candan ini, tanah dalam polibeg perlu sentiasa basah dan diletakkan ditempat yang redup bagi permulaan sebaik diambil dari hutan untuk membantu pertumbuhannya dengan lebih baik. Penanaman anak pokok candan sebaiknya ditanam pada sebelah petang bagi mengelakkan anak pokok candan dari melecur dan sebaiknya ditanam dalam di musim hujan bagi peminat candan gajah yang ingin menanam tetapi tidak dapat menumpukan sepenuh masa terhadap pokok candan ini lantaran kesibukan kerja. Sungguhpun begitu menanam pokok candan (aquilaria hirta) ini adalah sangat berbaloi kerana harga yang jauh lebih tinggi dari gaharu malaccencis kerana ianya adalah spesis terbaik gaharu. Dihikayatkan bahawa Nabi Adam Alaihissalam hanya dibenarkan membawa bersama sepotong dahan pohon gaharu dari syurga ketika baginda dicampakkan ke dunia dan dahan pohon gaharu kebarangkalian besarnya adalah spesis aquilaria hirta (candan) spesis gaharu terbaik. Sesiapa yang berminat mendapatkan anak pokok candan boleh hubungi saya . Harga adalah RM15.00  sahaja sepokok. Tinggi adalah 1.5 kaki keatas..

Sebelumnya saya telah berurusan dengan orang asli di Kuala Lipis bagi mendapatkan candan gunung. Masih belum rezeki saya lagi mendapat candan gunung . Menurut sahabat orang asli saya yang lebih selesa dipanggil Sena, untuk pergi ke tempat yang ada pokok candan gunung itupun sungguh sukar dan payah. Menurutnya, candan gunung hanya terdapat di sempadan Pahang, Perak dan Selangor dan juga terdapat sedikit di Cameron Highland. Sena pun terkejut apabila saya bertanyakan pokok candan dan meluahkan rasa hairannya macamana orang melayu seperti saya pun tahu kewujudan pokok candan gunung. Pokok candan gunung ini tumbuh dilereng gunung dan sangat perlu berhati hati untuk mendapatkannya. Perihal yang mengkagumkan saya mengenai pokok candan gunung ini adalah apabila Sena menceritakan bahawa sekiranya terdapat pokok candan gunung disekitar itu bermakna pokok gaharu tidak tumbuh disekitarnya dalam lingkungan 15KM. Bermakna sekiranya ada ditemui pokok gaharu, pasti candan gunung tidak ada di kawasan berhampiran. Diceritakannya lagi tanda tanda adanya pokok candan gunung itu adalah antaranya boleh dijumpai pohon buluh perindu di sekitarnya, bermakna pasti ada binatang buas disitu dan perkara ini agak mengerunkan Sena. Bagi tujuan mengambil anak pokok sahaja saya dimaklumkan Sena terpaksa bermalam dihutan selama 3 malam untuk mengambilnya dan membawa balik lantaran jauhnya tempat tumbuhnya pokok candan gunung tersebut yang pastinya tiada penempatan orang asli berhampiran tempat tumbuhnya pokok candan gunung tersebut. Memaksa persiapan yang cukup rapi dari segi mental dan fizikal  serta sedikit upacara spriritual mesti dibuat hanya untuk mendapatkan pokok candan gunung tersebut. Memandangkan sukarnya untuk mendapatkan pokok candan gunung tersebut bersesuaian dengan sangat mahal harganya iaitu mencecah RM 1 juta untuk sekilogram saya menumpukan untuk mendapatkan candan gajah dahulu,