Kenapa Jutawan Gaharu

Ramai yang telah mengetahui betapa mahalnya harga gaharu. Sedikit yang nekad memulakan langkah menanam pokok karas. Bagaimana rupa dan bentuk pokok karas, kaedah penanaman dan pembajaan, spesis terbaik untuk ditanam dengan iklim panas lembab di Malaysia, teknik suntikan dan kebenaran kejayaan inokulan lalu akhirnya saiz pasaran gaharu itu sendiri yang membenak di fikiran. Sebolehnya persoalan itu cuba dirungkaikan disini. Pepatah melayu ada menyebut kalau tidak dipecahkan ruyung mana kan dapat sagunya. Saya yakin kalau tidak ditanam karas mana kan dapat gaharunya.Tak dapat tanam 1o ooo pokok karas, tanam 1ooo pokok pun Alhamdulillah, Saya percaya Something is better than nothing.




Sunday, 29 January 2012

Teras Terhasil Selepas 6 Bulan Inokulasi


Alhamdulillah. Sempat saya kemaskini hasil inokulasi selepas 6 bulan menggunakan Inokulan Gaharu Biotech.


Spesis                 : Aquilaria Malaccensis
Ukurlilir               : 11  inci
Tempoh Suntikan : 6 Bulan
Teras terhasil sehingga 6 kaki. Menggunakan teknik suntikan bawah.



Ukurlilit hanya 11 inci. Gambar pada paras 4 kaki.


Gambar pada pangkal pokok di bahagian akar.


Inilah hasil setelah 6 bulan inokulasi menggunakan Inokulan Gaharu Biotech. Teras terhasil setinggi 6 kaki dan dipotong sepanjang 4 kaki untuk memudahkan masuk bonet kereta. Belum sempat dicuci teras sepenuhnya. Minggu hadapan dijangka ditebang sepokok lagi yang lebih besar dan lebih lama inokulasinya. Insya Allah.

Semoga ada manfaatnya.

Heboh Heboh - Kursus Gaharu Di Bandar Pusat Jengka, Pahang





Jika beberapa tahun dahulunya, agak sukar untuk mendapatkan maklumat apatah lagi ilmu dalam industri gaharu. Rata-rata menanam gaharu atas sedikit info dan tidak mendapatnya secara tepat dari guru yang tepat.

Jom pakat gi kursus gaharu di Bandar Pusat Jengka Pahang pada 25.02.2012

Maklumat lanjut boleh lawati     http://gaharuinfo.blogspot.com/ 

Tak pergi, Rugi...

Semoga dapat dimanfaatkan bersama.

Tuesday, 24 January 2012

Kesan Inokulasi 6 Bulan

Agak penat semalamnya. Mengambil kesempatan cuti Tahun Baru Cina, saya usahakan mengambil contoh dahan gaharu setelah 6 bulan inokulasi.


Inilah gambar yang sempat diambil. Kelihatan teras kecoklatan. Belum sempat keluarkan terasnya sebab ada urusan segera di Kuantan. Insya Allah saya muatnaik gambar terasnya. Dahan hanya sepanjang 2 kaki.

Semoga ada manfaatnya.

Sunday, 15 January 2012

Apakah spesis gaharu terbaik...

Saya menerima pertanyaan dari sahabat gaharu dari Indonesia apakah spesis gaharu terbaik. Agak lama untuk saya menjawabnya lantaran kesibukan tugas yang perlu dibereskan di akhir tahun 2011 ditambah dengan musim tengkujuh yang melanda bandar Kuantan. Sejuk sungguh. Hingga beberapa post yang saya rencanakan sebelumnya agak membeku. Hujan sudah semakin reda dan mentari menerjahkan sinarnya disebalik kumpulan awan yang tebal menghitam.

Pada awal penanaman gaharu yang saya usahakan secara ladang di tahun 2008. Saat tercari-cari maklumat mengenai gaharu. Langsung tiada buku mengenai gaharu di kedai-kedai buku bernama di Kuantan. Saya menyusuri jalan mencari kedai buku, bertanya sahabat dan pemilik kedai, dimana mungkin saya perolehi buku mengenai gaharu. Jawapannya hampa. Tiada sebuah buku pun ditemui yang dapat membantu saya mendapatkan maklumat tepat mengenai gaharu. Maklumat hanya diperolehi dalam internet. Forum-forum yang membincangkan mengenai gaharu dan beberapa laman blog yang mencatatkan maklumat berkaitan gaharu. Juga dari penjual benih gaharu yang turut banyak mendapatkan maklumat dari internet.

Maklumat yang diperolehi dari internet mengenai gaharu amat tidak memuaskan hati. Dari situlah saya mencuba untuk memberikan maklumat mengenai gaharu secara bergambar hasil dari sedikit pemerhatian dan pengalaman saya sendiri yang tidak seberapa ini. Lalu Alhamdulillah terhasil laman gaharucandanku.blogspot.com. Semoga ianya dapat memberikan sedikit manfaat.

Saya tertarik pada kata-kata seorang penceramah di radio IKIM suatu ketika dulu. "Seorang itu tidak dilahirkan dengan kebodohan tetapi dengan kebijaksanaan yang berbeza." Kata yang memandu saya apabila mencari sesuatu yang TERBAIK.

Sebelumnya, spesis Aquilaria subintegra dikatakan menjadi ranking terbaik gaharu. Maklumat di internet menyatakan begitu. Ramai dikalangan kita yang menanam spesis tersebut. Pokok gaharu yang ditanam secara ladang. Keghairahan untuk menjadi jutawan, tanpa sedar maka terhasil lambakan ladang gaharu spesis subintegra di Malaysia. Dari umur tanaman beberapa hari hinggalah melebihi 3 tahun. Sungguhpun begitu, ada kalangan penanam gaharu yang sungguh bijak menanam spesis Aquilaria Malaccensis yang saat ini usia tanaman melebihi 7 tahun.  


Aquilaria Subintegra

Saya merasakan spesis Subintegra ditanam secara ladang dan dicanangkan sebagai spesis terbaik mempunyai beberapa sebab. Faktor 'Hanya Ada' bibit gaharu itu sendiri adalah antaranya. Bibit spesis Subintegra dan Crassna adalah amat mudah diperolehi dan dijual pada harga yang murah. Disogok pula bahawa negara Kemboja dan Thailand telah jauh mendahului kita dari segi teknologi gaharu. Ramai yang telah percaya subintegra adalah yang terbaik. Kalau hanya bibit subintegra dan crassna yang ada dalam stok penjual bibit, masakan dikatanya pula bibit gaharu miliknya kurang berkualiti dan bukan yang terbaik.

Faktor teknologi inokulan juga memainkan peranannya. Pastinya pembeli bibit gaharu akan bertanya apa kesudahannya selepas ditanam. Inokulan apakah yang terbukti berjaya menghasilkan gaharu. Pokok gaharu tanpa inokulan pasti mengundang igauan ngeri kepada penanamnya. Beberapa tahun kebelakang, teknologi inokulan dari Thailand dikatakan adalah yang terbaik. Pembeli bibit gaharu spesis Subintegra dan Crassna di janjikan bahawa teknologi inokulan dari Thailand ini akan menyelesaikan masalah suntikan bagi menghasilkan gaharu yang menjanjikan pendapatan lumayan. Malangnya janji tesebut hilang disaat umur tanaman mencecah 3-4 tahun. Saat inokulan dari Thailand yang dijanjikan untuk disuntik entah ke mana. Business Card yang dihulurkan tatkala membeli bibit gaharu, sudah tiada dalam perkhidmatan apabila dihubungi. Syarikat yang menawarkan perkhidmatan selepas jualan tersebut tiada lagi kelibatnya dalam internet.

Akhir-akhir ini, inokulan dari negara jiran tersebut tidak lagi diyakini apatah lagi dipercaya. Inokulan yang dikatakan berjaya ditempat asalnya tetapi gagal di negara kita Malaysia. Alasan faktor cuaca, suhu, tanah, kelembapan dan sebagainya sungguh tidak dapat saya terima. Pokok dari spesis yang sama yang ditanam di Malaysia setelah disuntik menggunakan inokulan yang sama tetapi gagal memberikan hasil yang sama dan alasan tersebut diberikan bagi menyembunyikan sesuatu.

Muta'akhir ini saya ditemukan dengan beberapa penggiat gaharu dari Kelantan yang menyatakan bahawa penggiat gaharu dari Kelantan sendiri sudah hilang kenyakinan terhadap inokulan gaharu dari Thailand dan mencari inokulan alternatif yang lain. Kelantan dikatakan mempunyai pokok gaharu liar terbanyak di Malaysia dan mereka telah terlebih dahulu melalui pengalaman menyuntik gaharu dari tempat lainnya atas kelebihan berhampiran dengan negara Thailand. Andai mereka telah hilang keyakinan terhadap inokulan dari Thailand, saya berpendapat kita perlu menambil pelajaran dari fenomena ini.

Bibit gaharu spesis Subintegra dan Crassna terbukti gagah hidup di ladang. Kedapatan juga yang tumbang jika hilang pantauan. Malaccensis pula perlukan sedikit teduhan dan kurang galak jika ditanam diladang. Itu adalah keistimewaan tersendiri.

Saya percaya hukum penawaran dan permintaan akan terpakai beberapa tahun akan datang. Apabila berlaku lambakan gaharu spesis Subintegra dan Crassna. Pada masa itu gaharu spesis Malaccensis akan meniti dari bibir ke bibir. Dalam 2 tahun akan datang pemilik gaharu spesis Subintergra dan Crassna masih memperolehi hasil lumayan atas harga yang mahal sebelum lambakan bermula. Pendahulu pasti bersorak girang. Orang yang menanam secara diam dan di beri kata sinis beberapa tahun lepas akan mula mengukir senyum.

Percayalah bahawa gaharu mahal atas sebab sukarnya ditemui. Spesis Malaccensis semakin pupus sedikit demi sedikit. Usaha menanam semula secara ladang kurang menyerlah. Ditambah dengan Inokulan Gaharu Biotech yang terbukti menghasilkan teras gaharu ke atas pokok malaccensis mula tersebar. Ketika itulah penanam Malaccensis dan penyuntik gaharu liar di Malaysia mula berkotek.

Aquilaria Malaccensis

Melaka pernah menjadi pusat hasil dagangan gaharu di rantau ini. Pedagang datang dari jauh semata-mata untuk mendapatkan gaharu bernilai tinggi yang pastinya adalah Malaccensis. Ingatlah, perkataan MALACCENSIS itu adalah berasal dari perkataan MALACCA (Melaka). Insya Allah, Malaccensis akan menjadi buruan kembali. Sejarah akan berulang.

Ditambah pula dengan adanya Teknologi Inokulan Gaharu Biotech yang telah diuji dan terbukti menghasilkan gaharu bagi spesis Malaccensis. Spesis gaharu TERBAIK. Inokulan yang diolah menggunakan bahan yang halal dan diperbuat dari bahan organik. Spesis gaharu terbaik memerlukan teknologi inokulan yang TERBAIK. 

Beralihlah ke Inokulan Gaharu Biotech. Tak cuba, RUGI BESAR...

Insya Allah saya usahakan post mengenai Kenali Inokulasi Yang Gagal.

Semoga ada manfaatnya.

Monday, 2 January 2012

2011 telah berlalu 2012 kini menjelma

Tanggal 28 November 2011, Tuan Said dari Perak telah sudi bertandang ke Lanchang untuk melihat sendiri kesan Inokulan Gaharu Biotech. Agak gusar saya pada awalnya, bimbang nanti tidak dapat menyempurnakan hajat Tuan Said yang datang dari jauh. Maklumlah musim tengkujuh sedang bermula. Air sungai naik tanpa diduga. Perjalanan ke tempat projek gaharu mesti melalui jalan ditepi sungai yang biasanya ampuh bila hujan di hulu. Alhamdulillah kami selamat tiba ke tempat dihajati. Terpaksa berjalan kaki lantaran jalan terlalu becak untuk dilalui kereta. Ketenangan Tuan Said bersama adik beradik dan iparnyanya sungguh mengkagumkan saya. Cukup muafakat bagi mencapai matlamat. Sangkaan saya mungkin inilah kunjungan penutup tirai 2011 dengan 2 liter Inokulan Gaharu Biotech dibawa pulang untuk percubaan memandangkan hujan turun bagai dicurah curah.

Tanggal 17 Disember 2011, Tuan Othman dari Terengganu pula menyatakan hasrat untuk bertemu mata. Musim tengkujuh belum menunjukkan tanda reda. Kegusaran saya kembali lagi. Gusar andai tidak dapat memenuhi hajat saudara gaharu yang datang dari jauh penuh misi. Datang bersama bapa dan anak lelakinya yang masih kecil. Dalam usia muda telah mula mengenali gaharu. Cukup kental wawasannya. Alhamdulillah, misi tercapai. Saya membawanya ke tempat projek yang kedua yang kalis banjir. 3 liter Inokulan Gaharu Biotech diserahkan kepada Tuan Othman. Saya menyangkakan Tuan Othman adalah penutup tirai 2011.

Tanggal 25 Disember 2011 saya menerima panggilan dari Bapak Djoko yang menyatakan hasratnya untuk  singgah di Lanchang dan melihat sendiri hasil inokulasi menggunakan Inokulan Gaharu Biotech sekembalinya dari urusan di Abu Dhabi. Saya meluahkan persetujuan saya.

Tanggal 29 Disember 2011 saya memandu dari Kuantan ke Lanchang untuk memenuhi janji saya dengan Bapak Djoko. Cuti telah diambil sebelumnya dan jam 11.00 pagi saya selamat sampai di Lanchang untuk menyambut kedatangan Bapak Djoko. Alhamdulillah jam 12.00 tengahari Bapak Djoko ditemani isterinya selamat tiba di Lanchang. Gementar dan berdebar saya saat bertemu dengan bapak Djoko. Ada ilmu hebat  yang dimiliki Bapak Djoko yang tidak saya punya. Sungguh merendah diri dan cukup halus tutur katanya.

Saya menunjukkan kepadanya hasil inokulasi dan lantaran terlalu asyik berbicara hingga saya terlupa untuk merakamkan gambar. Hanya gambar ini yang sempat dirakam. Gambar inokulasi menggunakan Inokulan Gaharu Biotech selepas 7 bulan.




Alhamdulillah jam 2.00 petang Bapak Djoko mengorak langkah kembali ke hotel di Kuala Lumpur untuk meneruskan perjalanan  ke tempat tinggalnya di Kalimantan, Indonesia. Tanggal 30.12.2011 Bapak Djoko menghantar SMS kepada saya menyatakan 7 Liter Inokulan Gaharu Biotech yang dibawa telah lolos dan Alhamdulillah beliau telah selamat tiba di Kalimantan, Indonesia. Rupanya inilah kunjungan penutup tirai 2011. Tirai 2011 dilabuh dan tirai 2012 diangkat.