Balik dari pekan sehari jam 11 pagi membawa ibu membeli makanan kegemarannya. Ikan patin, jeruk petai, ikan patin pekasam, ikan salai, rambutan, langsat dan beberapa jenis kuih dan sayuran. Memang agak berat untuk dijinjing sepanjang jalan pekan sehari. Maklumlah, pekan sehari Temerloh terkenal dengan deretan penjaja yang cukup jauh. Sememangnya saya hanya melepasi tidak sampai separuh dari pekan sehari. Terlalu penat untuk meronda hingga ke hujung.
Agak sakit tangan menjinjing berkilo-kilo makanan kegemaran ibu. Biasanya saya ditemani oleh 3 anak lelaki tetapi tidak hari ini. Ada rombongan sekolahnya ke Kuala Lumpur.
Saya tidak membenarkan langsung ibu menjinjing barang beliannya meskipun hanya sebungkus daun kesum. Rasanya itu pun langsung tidak dapat membalas jasa ibu yang terlalu banyak terhadap saya sepanjang usia lebih 40 tahun ini.
Sebaik sampai ke rumah ibu. Saya terus bersegera ke halaman rumah untuk Selak Tingkap pokok karas spesis Malaccensis. Pokok karas yang tumbuh liar di halaman rumah ibu. Melihat kesan tindakbalas IGB selepas 1 bulan inokulasi. Agak penat kerana saya perlu pulang ke Kuantan untuk menjemput anak sulung saya di sekolahnya. Balik dari rombongan sekolah. Sepatutnya saya berehat sebentar.
Kelmarin saya baharu pulang dari Jasin, Melaka untuk Selak Tingkap pokok karas yang telah diinjek dengan IGB selepas 8 bulan. Insya Allah saya ceritakan kemudian.
Spesis Malaccensis. Tumbuh liar di halaman rumah.