Kenapa Jutawan Gaharu

Ramai yang telah mengetahui betapa mahalnya harga gaharu. Sedikit yang nekad memulakan langkah menanam pokok karas. Bagaimana rupa dan bentuk pokok karas, kaedah penanaman dan pembajaan, spesis terbaik untuk ditanam dengan iklim panas lembab di Malaysia, teknik suntikan dan kebenaran kejayaan inokulan lalu akhirnya saiz pasaran gaharu itu sendiri yang membenak di fikiran. Sebolehnya persoalan itu cuba dirungkaikan disini. Pepatah melayu ada menyebut kalau tidak dipecahkan ruyung mana kan dapat sagunya. Saya yakin kalau tidak ditanam karas mana kan dapat gaharunya.Tak dapat tanam 1o ooo pokok karas, tanam 1ooo pokok pun Alhamdulillah, Saya percaya Something is better than nothing.




Thursday 11 March 2010

Potensi Industri Minyak Atar

Potensi industri minyak atar





Noor Hayati Othman menunjukkan kayu gaharu yang dikeringkan sebelum dikisar halus untuk proses menjadikan minyak atar di kilangnya di Batu Bertangkup, Chuping, Perlis.- Gambar FAISAL ABU HASSAN


PADANG BESAR 2 Dis. - Industri minyak wangi atar yang berasaskan kayu gaharu berpotensi diusahakan di bawah projek pembangunan dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai NCER, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pengeluaran minyak atar mendapat permintaan yang tinggi dalam dan luar negara kerana harganya yang tinggi sehingga mencecah kira-kira RM3,500 setiap 12 mililiter (ml) di negara Asia Barat.

Katanya, kawasan industri minyak atar dalam projek NCER juga merupakan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu kewujudan industri yang unik dan berpotensi dilaksanakan.

''Di negara ini tidak banyak syarikat yang mengusahakan pengeluaran pati gaharu bagi membuat minyak atar dan jika ada sekalipun ia dilakukan secara kontrak dengan negara luar dan patinya dihantar ke sana seterusnya mendapat jenama di negara tersebut.

''Saya telah berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Mohd. Anuar Zaini dan pengurusan NCER bagi memberi penekanan dalam projek penghasilan minyak atar ini dan projek-projek lain yang sedang berjalan," katanya di sini, baru-baru ini.

Shahidan berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke kilang pemprosesan pengeluaran pati gaharu, Hayat Green (M) Sdn. Bhd. bagi dijadikan minyak atar di Batu Bertangkup, Chuping di sini.

Menurut Shahidan, beliau juga akan berbincang dengan pemimpin utama di setiap negeri yang berada di bawah projek NCER bagi menyediakan tapak untuk dijadikan kawasan industri pengeluaran minyak atar.

''Di Perlis saya akan berbincang dengan kerajaan negeri agar tapak yang sedia ada ini diperbesarkan untuk dijadikan kawasan industri pengeluaran berasaskan kayu gaharu kerana selain dijadikan minyak atar bahan daripada kayu gaharu yang diproses juga sesuai dijadikan bahan dalam produk kecantikan yang lain.

''Perbincangan juga akan dilakukan dengan kerajaan negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perak sekiranya mereka berminat dengan projek ini kerana modal permulaan yang diperlukan tidak besar iaitu lingkungan RM500,000," ujarnya.

Shahidan memberitahu, bahan mentah penghasilan utama minyak atar iaitu kayu karas juga terdapat banyak di negara ini dan di Perlis sahaja sebanyak 10,000 pokok telah ditanam.

Sementara itu, beliau berkata, semua projek NCER berjalan seperti biasa mengikut perancangan yang dibuat termasuk di negeri yang dikuasai pembangkang.

''Semua projek sedang giat berjalan dan mungkin ada projek yang terlewat sedikit tetapi ia akan diteruskan mengikut perancangan.

''Dalam hal ini, kita tidak mengalami sebarang masalah kerjasama daripada negeri-negeri lain kerana semua yang dilakukan untuk pembangunan bersama dan saya meminta agar semua pihak ketepikan sementara waktu perkara berkaitan politik dan tumpukan kepada pembangunan ekonomi negara," ujarnya.

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete