Pada Mei 2010 saya telah melakukan suntikan ke atas beberapa batang pokok karas menggunakan teknik suntikan di pangkal pokok. Pokok karas di gambar adalah berukurlilit 38 inci telah disuntik menggunakan vaksin keluaran tempatan. Bermakna pada tarikh ini genap 1 tahun inokulasi menggunakan teknik suntikan di pangkal pokok. Sebanyak 4 lubang di pangkal pokok dibuat pada masa itu dan disuntik menggunakan vaksin keluaran tempatan . Saya tidak mahu memperincikan mengenai hasil suntikan menggunakan vaksin keluaran tempatan tersebut. Apa yang menarik minat saya untuk dikongsi pada kali ini adalah dengan menggunakan teknik suntikan di pangkal pokok, teras gaharu boleh terhasil dengan izinNya hingga ke akar pokok karas. Bagi saya ianya sangat menarik untuk dimanfaatkan bersama kerana teras gaharu bukan hanya terhasil hingga ke dahan tetapi juga hingga ke akar. Dengan menggunakan teknik suntikan yang mudah, teras gaharu boleh terhasil bukan sahaja sampai ke dahan-dahan tetapi juga hingga ke akar pokok karas. Pastinya gaharu bergred tinggi bakal terhasil andainya menggunakan inokukan yang tepat.
Ukurlilt pokok adalah lebih kurang 38 inci. Disuntik menggunakan teknik suntikan pangkal pokok. Genap 1 tahun usia Inokulasi menggunakan vaksin keluaran tempatan.
Bahagian akar digali untuk memudahkan kerja menggerudi bagi melihat kesan serapan vaksin hingga ke akar pokok.
Akar pokok digerudi pada jarak lebih kurang 2 kaki dari pangkal pokok. Tujuannya adalah untuk menganggar sejauh mana vaksin diserap oleh akar. Dapat dilihat kesan tindakbalas vaksin hingga ke akar melalui warna kehitaman dari tempat yang digerudi.
Inilah hasil yang dikumpul dari kerja menggerudi tadi. Jelas akar telah mempunyai teras gaharu yang kehitaman.
Lubang ke 2 seterusnya digerudi pada anggaran jarak 1 kaki dari pangkal pokok.
Teras kehitaman jelas lagi ketara. Pasti teras yang terhasil bergred tinggi andai menggunakan inokulan yang tepat.
Lubang ke 3 digerudi di pangkal pokok. Kesan kehitaman hasil dari vaksin menandakan di pangkal pokok tersebut padat dengan teras kehitaman hasil dari vaksin yang disuntik menggunakan teknik suntikan di pangkal pokok. Sebanyak 3 lubang dibuat bagi memudahkan perbandingan dan pada pengiraan saya kesan vaksin sudah pun memenuhi keseluruhan akar pokok pada usia inokulasi 1 tahun.
Kesan vaksin yang terhasil di pangkal pokok. Teras kehitaman telah terbentuk.
Hasil yang dikumpul dan diasingkan kepada 3 bahagian untuk memudahkan anggaran pengiraan hasil yang bakal diperolehi.
Mungkin setelah melihat hasil dari teknik suntikan di pangkal pokok ini orang akan mengatakan tepuk dada tanya selera. Tetapi saya lebih suka mengatakan lihatlah, renunglah dan bertindaklah. Tindakan yang kita buat pada hari ini akan memberi petunjuk di mana kita pada masa akan datang.
Semoga ada manfaatnya.