Kenapa Jutawan Gaharu

Ramai yang telah mengetahui betapa mahalnya harga gaharu. Sedikit yang nekad memulakan langkah menanam pokok karas. Bagaimana rupa dan bentuk pokok karas, kaedah penanaman dan pembajaan, spesis terbaik untuk ditanam dengan iklim panas lembab di Malaysia, teknik suntikan dan kebenaran kejayaan inokulan lalu akhirnya saiz pasaran gaharu itu sendiri yang membenak di fikiran. Sebolehnya persoalan itu cuba dirungkaikan disini. Pepatah melayu ada menyebut kalau tidak dipecahkan ruyung mana kan dapat sagunya. Saya yakin kalau tidak ditanam karas mana kan dapat gaharunya.Tak dapat tanam 1o ooo pokok karas, tanam 1ooo pokok pun Alhamdulillah, Saya percaya Something is better than nothing.




Thursday, 30 October 2014

Tindakbalas IGB selepas 1 bulan inokulasi di Pontianak, Kalimantan, Indonesia.


Baru baru ini sahabat gaharu dari Pontianak, Kalimantan, Indonesia yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Akbar mengirimkan gambar melalui emel kepada saya. Kiriman gambar yang cukup menggembirakan saya. 

Sebelumnya, Pak Akbar ada menyatakan hasrat untuk bertandang ke Lanchang, Pahang untuk melihat sendiri teknik Injek IGB dan tindakbalas pokok karas terhadap IGB. Oleh kerana kekangan masa, akhirnya kami tidak dapat bertemu. Beliau mengambil keputusan untuk terus menempah IGB selepas beberapa perbualan dan persoalan yang ringkas melalui telefon. 

IGB dihantar melalui Kuching, Sarawak. Gembira saya apabila sejumlah lebih 160 liter IGB selamat diterima oleh Pak Akbar selepas 2 kali tempahan walaupun saya sendiri tidak pernah menjejakkan kaki ke sana. 

Inilah gambar yang dikirimkan oleh Pak Akbar selepas 1 bulan di inokulasi menggunakan IGB. Alhamdulillah. 

Semoga ada manfaatnya. 


Kreativiti Pak Akbar dalam memastikan IGB diinjek dan diserap oleh pokok karas 


Kulat yang tumbuh selepas 1 bulan inokulasi. Lubang Injek ditutup kemas untuk mengelakkan dari dimasuki air. Jika terdedah dengan air ia boleh menyebabkan pereputan dan menjejaskan tindakbalas penghasilan gaharu oleh pokok karas.

Pak Akbar menebuk pokok karas untuk melihat kesan tindakbalas pokok karas terhadap IGB selepas 1 bulan inokulasi. 

Monday, 27 October 2014

Teras Gaharu Mereput? Kenapa...

Ramai yang bertanya. Kenapa teras Inokulan reput di tengahnya. Pada mukanya hanya segelintir yang bertanya. Saya tidak berhasrat mengulas panjang pada awalnya. 

Semakin lama semakin ramai bertanyakan soalan yang sama. Kenapa teras gaharu Inokulan mereput di tengah?

Saya sempat berbincang mengenai perkara ini dengan rakan bisnes saya iaitu tuan hj Nordin. Rupanya ramai yang keliru dengan istilah TERAS yang digunakan. 

Biasanya bila disebut teras, maksudnya mesti ianya padu, padat, berat dan berada ditengah tengah pokok. Tetapi maksud ini tidak terpakai bagi teras gaharu. 

Teras gaharu alami iaitu yang terjadi secara alami dan tidak disuntik dengan Inokulan pun bukanlah semestinya padat, berat dan berada ditengah tengah pokok karas. Teras gaharu adalah satu lapisan resin yang terhasil dari tindak balas pokok karas terhadap benda asing yang masuk ke dalam pokok karas. Bentuknya adalah  pelbagai dan memiliki kadar ketebalan yang berbeza beza. Teras gaharu jarang terjadi ditengah tengah pokok karas. Biasanya ia terhasil di bahagian tepi batang pokok. Pada kebiasaannya ianya adalah hanya lapisan yang dipenuhi resin kehitaman dengan ketebalan cuma beberapa cm sahaja. 

Saya tunjukkan gambar teras gaharu alami yang saya perolehi dari rakan bisnes saya iaitu tuan hj Faizul untuk dimanfaatkan bersama. 

Semoga terus dipermudahkanNya. 



Teras gaharu yang sering dipertonton gambarnya. Nampak seperti padat dan tidak mereput. 



Gambar dibahagian belakang. Ianya tidak padat dan mereput ditengah tengah. 



Inilah ketebalan teras gaharu. Hanya beberapa cm sahaja. 

Kemahiran melarik teras gaharu juga sangat penting bagi mendapatkan teras gaharu yang cantik. Ini adalah kerana teras gaharu hanyalah beberapa cm sahaja tebalnya dan jika kemahiran melarik tidak cukup tinggi, teras yang terhasil juga kurang cantik dan ianya juga menjejasjan harga teras gaharu itu sendiri. 

Semoga ada manfaatnya. 


Sunday, 14 September 2014

Selak Tingkap Selepas 1 Bulan Injek IGB

Balik dari pekan sehari jam 11 pagi membawa ibu membeli makanan kegemarannya. Ikan patin, jeruk petai, ikan patin pekasam, ikan salai, rambutan, langsat dan beberapa jenis kuih dan sayuran. Memang agak berat untuk dijinjing sepanjang jalan pekan sehari. Maklumlah, pekan sehari Temerloh terkenal dengan deretan penjaja yang cukup jauh. Sememangnya saya hanya melepasi tidak sampai separuh dari pekan sehari. Terlalu penat untuk meronda hingga ke hujung. 

Agak sakit tangan menjinjing berkilo-kilo makanan kegemaran ibu. Biasanya saya ditemani oleh 3 anak lelaki tetapi tidak hari ini. Ada rombongan sekolahnya ke Kuala Lumpur. 

Saya tidak membenarkan langsung ibu menjinjing barang beliannya meskipun hanya sebungkus daun kesum. Rasanya itu pun langsung tidak dapat membalas jasa ibu yang terlalu banyak terhadap saya sepanjang usia lebih 40 tahun ini. 

Sebaik sampai ke rumah ibu. Saya terus bersegera ke halaman rumah untuk Selak Tingkap pokok karas spesis Malaccensis. Pokok karas yang tumbuh liar di halaman rumah ibu. Melihat kesan tindakbalas IGB selepas 1 bulan inokulasi. Agak penat kerana saya perlu pulang ke Kuantan untuk menjemput anak sulung saya di sekolahnya. Balik dari rombongan sekolah. Sepatutnya saya berehat sebentar. 

Kelmarin saya baharu pulang dari Jasin, Melaka untuk Selak Tingkap pokok karas yang telah diinjek dengan IGB selepas 8 bulan. Insya Allah saya ceritakan kemudian. 



Spesis Malaccensis. Tumbuh liar di halaman rumah. 



Teknik Selak Tingkap dan ditebuk untuk melihat tindakbalas selepas 1 bulan inokulasi dengan IGB. 


Alhamdulilah. Selepas 1 bulan inokulasi. Tempat tersebut ditutup kembali dengan menggunakan stapler. Elakkan air masuk kerana ia akan merosakkan dan mereputkan  gaharu yang baharu mahu menjadi. 

Wednesday, 10 September 2014

Kasih Seekor Tebuan

Petang kelmarin tatkala abang saya membantu memesin rumput disekeliling  rumah. Tebuan tanah mula berkeliaran kerana sarangnya diganggu. Itu adalah pemandangan biasa di rumah saya apabila mesin rumput melaksanakan tugasnya. Sudah terlalu kerap tebuan tanah berada di perkarangan rumah. Berpuluh puluh ekor jumlahnya. 

Bila melihat anak-anak saudara yang masih kecil berada diluar pintu tanpa mengetahui petaka yang bakal tiba angkara tebuan tanah, saya terus mencapai raket kepunyaan anak. Melakukan beberapa stroke laksana pemain bandminton amatur. Mangsanya adalah tebuan tanah yang berkeliaran. Puluhan tebuan tanah yang mati, terputus ekor. Ada hanya terus merayap rayap tanpa dapat terbang lagi. Bergelimpangan di atas rumput dan kawasan garaj kereta. 

Perkara yang tidak pernah saya lakukan. Jika ada tebuan tanah tersesat ke dalam rumah sekalipun saya hanya menghalaunya sahaja. 

Hampir lelah meraket tebuan tanah. Sangka saya ianya bakal pupus dalam beberapa minit lagi. Meleset. Sedikit hairan saya. Jumlahnya semakin banyak. Entah dari mana datangnya.

Saya berhenti meraket tebuan tanah. Mencari punca semakin banyak tebuan tanah yang datang menghampiri perkarangan rumah. Saya mengira jika saya terus meraket tebuan tanah itu, sehingga maghrib pun tebuan tanah tidak berkurang. 

Subhanallah. Maha suci Allah. Rupanya tebuan tanah yang semakin banyak itu datang untuk membantu saudaranya yang cedera akibat diraket.  Mula mula seekor, kemudian 2 ekor sehingga 3 ekor tebuan tanah membantu saudaranya yang cedera. Subhanallah. Saya cukup terkejut. Sudah puluhan tebuan tanah yang saya cederakan. Pada kiraan saya sebanyak 3 kali ganda tebuan tanah yang menghampiri untuk membantu tebuan tanah yang lain. Allah maha besar. 

Tebuan tanah yang cukup berbisa itu, sengatan yang mampu membunuh manusia. Sudah terlalu banyak manusia yang mati akibat sengatannya. Jika diperhatikan susuk tubuh dan matanya pun sudah nampak garangnnya seperti filem 'Terminator'. Namun begitu begitu kasihnya  mereka kepada saudara sendiri. 

Saya dapat merasakan kasihnya seekor tebuan tanah. Kasih yang sanggup mati untuk saudaranya. Saya tekad merakam gambar kasihnya tebuan tanah. Mengambil risiko dengan dikelilingi berpuluh puluh tebuan tanah yang datang membantu saudaranya. Tebuan tanah yang sengatannya bisa membawa maut. Subhanallah. 

Adakah kita  sekasih itu terhadap saudara kita?



Tebuan tanah yang memberi bantuan terhadap saudaranya yang cedera denga penuh raya kasih dan berani. 

Tuesday, 9 September 2014

Teknik Selak Tingkap

Jika sebelumnya saya banyak menakik pokok karas menggunakan parang untuk melihat tindakbalas IGB terhadap pokok karas. Kini saya semakin kurang menakik pokok karas. Sebabnya Kesan takikan tersebut menyebabkan air masuk melalui tempat yang dicedera dan mereput dibahagian tersebut. Sayang pokok karas yang telah diinokulasi sekian lama lalu akhirnya mereput akibat kegelojohan sendiri. 

Lebih malang lagi keseluruhan pokok mereput terutama jika ditakik pada paras yang tinggi. Air masuk dari paras yang ditakik dan terus mereput hingga ke bawah. 

Pokok karas yang belum diinokulasi tidak membawa bekas jika ditakik sebegitu. Tetapi selepas diinjek dengan IGB, pokok karas semakin kurang kuasa pemulihannya dan akhirnya terpaksa mengalah pada air yang masuk lalu mereput. 

Saya kongsikan teknik Selak Tingkap untuk melihat gaharu didalam pokok karas dengan mengurangkan risiko pokok mereput. Insya Allah. 

Kulit pokok karas dipotong menggunakan pisau yang tajam. Lebar dalam 5 inci dan panjang 7 inci. 


Tebuk menggunakan pahat selebar 1 inci. Tebuk betul betul di bawah tempat Injek pada jarak 6 inci. Tebuk samada ke atas atau ke bawah. Inilah hasil inokulasi 11 minggu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. 


Tutup kembali kulit tersebut. Rapatkan sebaiknya. Kemudian staple menggunakan stapler. Insya Allah kulit pokok kembali bertaut dan risiko reput akibat luka yang dibuat dapat dikurangkan. 

Semoga ada manfaatnya. 



Saturday, 6 September 2014

Bengkel Kebangsaan Inokulasi Gaharu 2014

Beberapa hari sebelum Bengkel Kebangsaan Inokulasi Gaharu 2014 yang berlangsung pada 16 - 17.04.2014, Cik Aminah Saad yang cukup terkenal dengan laman blognya http://gaharuinfo.blogspot.com telah menghubungi saya memaklumkan kekosongan sebagai salah seorang pembentang kertas kerja berkenaan inokulasi yang bakal diadakan di Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah. 

Saya cukup gembira dengan pelawaan tersebut. Saya menghubungi sahabat gaharu saya di Bangi, Selangor iaitu Tuan Hj Shamsor untuk menemani saya ke sana. Maklumlah saya tidak punya kenalan yang turut hadir di Bengkel Kebangsaan Inokulasi Gaharu 2014 tersebut. 

Jam 8 malam 15.04.2014 saya bertolak dari Kuantan, Pahang menuju ke Bangi, Selangor untuk mengambil sahabat gaharu saya. Saya tiba jam 3.30 pagi di rumahnya dan kami bergegas ke KLIA. 

Penerbangan kami tertunda sehingga 3 jam dan saya tiba di Universiti Malaysia Sabah jam 2.45 pm. Lewat dari yang sepatutnya. Cukup penat tetapi kegembiraan saya mengatasi penat dek perjalanan yang menghampiri 19 jam. 

Bengkel inokulasi yang cukup menarik. Dipenuhi oleh lebih 5 jenis vaksin atau Inokulan untuk dibentangkan pada bengkel kali ini termasuk dari Malaysia, Indonesia dan Thailand. Keesokan harinya saya membuat demo Injek IGB dengan dibantu sahabat gaharu saya tuan hj Shamsor di ladang Datuk George di Papar, Sabah. Sungguh cantik ladang gaharunya. 

Rupanya ada ramai kenalan gaharu yang turut hadir di Bengkel Kebangsaan Inokulasi Gaharu 2014 ini. Alhamdulillah saya dapat bertemu dengan pakar pakar gaharu yang cukup hebat. Sangat banyak ilmu gaharu yang dapat saya kutip dari mereka. 

Bergambar kenangan dengan pakar-pakar gaharu. 


Selesai demo Injek IGB bersama sahabat gaharu dari Semenanjung Malaysia. 


Sijil penghargaan dirakam untuk kenang kenangan. 


Ucaptama dan perasmian sebelum demo Injek diteruskan. 


Semoga terus dipermudahkanNya. 



Friday, 5 September 2014

Hasil Injek IGB selepas 11 minggu

Tanggal 31.05.2014 Tim Injek IGB telah selesai menginokulasi sejumlah 100 pokok spesis Aquilaria Subintegra di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. 

Kami berjanji untuk datang semula untuk melihat bersama sama tindakbalas pokok karas yang diinjek menggunakan IGB 

Tanggal 23.08.2014  kami bertandang lagi ke Kuala Pilah untuk melihat sendiri tindakbalas IGB seperti yang kami janjikan sebelumnya. 

Terima kasih tidak terhingga yang dapat saya rakamkan di sini atas layanan yang sungguh baik diberikan kepada kami. Cik Shafinaz dan suami yang bersusah payah menyediakan makan tengahari kepada kami. Masakan yang sehingga kini kami teringat ingat sedapnya. Masak lemak cili api. Kami buang rasa malu, menambah nasi ke pinggan. 




Inilah hasil Injek 11 minggu menggunakan IGB918. Formula IGB terkini. 


Antara kulat yang tumbuh di tempat yang di inokulasi menggunakan IGB. 

Semoga ada manfaatnya. 

Thursday, 21 August 2014

Teknik Gorek untuk pokok karas berusia 1 tahun ke atas.

Sebelum ini IGB hanya diuji ke atas pokok karas berusia melebihi 4 tahun dengan ukurlilit minima 12 inci. Menggunakan teknik Injek IGB yang memerlukan botol untuk memasukkan IGB ke dalam pokok. Inokulasi hanya dibuat sebanyak 1 kali sahaja dan dituai selepas 2 tahun untuk mendapatkan teras dan 7 bulan ke atas untuk memperolehi kayu minyak yang berkualiti. 

Selepas hampir 4 tahun IGB berada di pasaran dan kajian demi kajian dilakukan ke atas pokok karas dengan harapan pokok karas yang diusahakan oleh penggiat gaharu mampu menghasilkan gaharu yang lebih banyak dan berat. Bermakna lebih banyak dan berat duitnya. 

Kini formulasi IGB terus diperhebatkan, IGB kini sedia untuk diuji ke atas pokok karas berusia 1 tahun lebih. Kesannya dapat dilihat seawal 14 hari. Insya Allah. Pokok yang diinjek ini menggunakan Teknik Gorek. Mudah mudahan pokok yang disuntik lebih awal bakal meneraskan gaharu yang lebih banyak dan berat. 

Inila teknik Injek IGB yang dinamakan Teknik Gorek. 


Inilah saiz pokok karas berusia 1 tahun lebih. 


Penuhkan sahaja IGB ke dalam lubang Gorek. 


Teknik Gorek ini dilakukan secara berkala setiap 9 bulan sekali sehingga usianya mencapai 4 tahun. Setelah usianya melepasi 4 tahun ianya diinjek menggunakan teknik Injek IGB. Pada ketika itu jumlah IGB yang diperlukan untuk inokulasi adalah lebih sedikit. 

Benarlah kata orang tua-tua. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. 

Semoga ada manfaatnya. 
 


Sunday, 20 July 2014

Tawaran harga promosi Ramadhan

Agak terlewat saya war-warkan tawaran harga promosi Ramadhan. Agak sibuk dengan beberapa urusan penting termasuk menguruskan hal-hal berkaitan agen IGB.

Tawaran Ramadhan kembali lagi. Ianya berakhir pada 27.07.2014.

Dapatkan harga tawaran promosi Ramadhan pada harga RM150 seliter. Harga biasa adalah RM200 seliter.

Kos penghantaran adalah PERCUMA. 

Tawaran sangat terhad. Hubungi saya segera. 

Wednesday, 16 July 2014

Seminar Kebangsaan Dan Pameran Gaharu 2012

Seminar Kebangsaan Dan Pameran Gaharu 2012. Inilah kali pertama saya diberi peluang untuk membentangkan kertas kerja pertama saya mengenai Inokulan Gaharu Biotech (IGB). Bertajuk 'Kaedah Inokulasi Dan Pengolahan Teras'. Setelah IGB mencecah usia 2 Tahun. 

Di sinilah bermulanya saya mengenali pakar-pakar gaharu dari Universiti Tempatan yang bertaraf dunia. Bersahabat dengan orang lama dalam industri gaharu. Berkawan dengan pengusaha karas. Di sinilah banyak bunga dan buah silat saya pelajari dalam industri gaharu. 

Di sinilah bermulanya saya temui sahabat gaharu yang sehingga sekarang menjadi sahabat baik, berkongsi cerita suka dan duka industri gaharu.

Di sinilah IGB bertapak dan diberi kepercayaan untuk terus membentangkan kertas kerja mengenai Inokulan Gaharu Biotech dan kaedah inokulasi di Pekanbaru Indonesia (2013)  Universiti Sabah Malaysia (2014) dan anjuran MTIB di Pusat Dagangan Terengganu (2014). Insya Allah saya usahakan untuk dikongsikannya di sini nanti.


Bergambar kenangan bersama Profesor Madya Dr Mohamad Azani Alias (UPM), Tuan Ismail Muhammad (UPM) dan Tuan Megat Md Yusop dari RAL Plantation, Perak. 



Bergambar kenangan dengan Professor Baharuddin Salleh dari Universiti Sains Malaysia ketika lawatan di Tecknology Park Malaysia, Raub, Pahang.

Pada pertemuan inilah membawa kami kepada pertemuan-pertemuan untuk kesekian kalinya, berkongsi ilmu dan pengalaman. Merekalah guru-guru saya. Saya cukup gembira dapat menadah ilmu dari guru-guru yang cukup hebat. 


Semoga ada manfaatnya. 





Tawaran Menjadi Pengedar Inokulan Gaharu Biotech (IGB)

Alhamdulillah. IGB telah memasuki tahun ke 4. Berada di pasaran Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, Brunei, Kalimantan dan Sumatera Indonesia. Selama hampir 4 tahun ianya diuji ke seluruh Malaysia, Brunei dan Indonesia dan terbukti berjaya menghasilkan gaharu pada kualiti yang cukup membanggakan. 

Kini tiba masanya bagi IGB untuk terus berada dekat dengan pengusaha karas. Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, pihak kami membuka tawaran sebagai pengedar @ agen IGB agar dapat bersama-sama memberi manfaat kepada pengusaha karas di seluruh Malaysia, Brunei dan Indonesia. 

Hubungi saya untuk info selanjutnya.

Telefon/sms/Whatsapp :-  +6012 3790215
Emel                             :-  jamarusli764@gmail.com
Facebook                     :-  Jama Rusli Mat Ali


Kesemua nama pengedar @ agen akan di umumkan pada 04.08.2014. Insya Allah. 

Semoga ada manfaatnya. 






Wednesday, 4 June 2014

Tim injek IGB di Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Tanggal 31.05.2014, seawal jam 5 pagi Tim injek IGB bergegas ke sebuah kampung di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Janjinya jam 11 pagi Tim Injek memulakan tugas.  Pokok spesis Subintegra berusia lebih 4 tahun bersedia untuk diinjek. 

Jam 2 petang Tim Injek IGB selesai menginokulasi sebanyak 100 pokok karas. Cuaca panas yang baik membantu Inokulan diserap dengan begitu cepat sekali. Kami dijamu makan tengahari oleh tuan rumah yang lebih mesra dipanggil Kak Sham dan anaknya cik Shafinaz bersama adik lelakinya. Masak lemak cili api.  Memang sedap. Habis licin tanpa sisa. 

Terima kasih kepada Kak Sham dan cik Shafinaz yang berbaik hati meraikan kedatangan kami.  Insya Allah panjang umur kami akan ke sana lagi selepas Hari Raya untuk sama-sama melihat hasil inokulasi yang kami buat. Mudah mudahan berhasil. 

Semoga ada manfaatnya. 






Sunday, 18 May 2014

Hasil inokulasi IGB911 selepas 3 bulan - Aquilaria Malaccensis



Sesi demo Injek IGB. 



Menyukat IGB untuk di Injek. 


Hasil inokulasi selepas 3 bulan. 



Tanggal 06.04.2014 tetamu dari Universiti Malaysia Pahang dan Kolej Shahputra, Kuantan Pahang telah sudi menjengah ke Lanchang, Pahang. Banyak ilmu berkenaan fungus, fisiologi pokok, bakteria, Inokulan dalam dan luar negara yang dikongsikan kepada saya. Paling menarik adalah ujian makmal yang dibuat oleh mereka dan dibentangkan hasil ujian tersebut. Cukup menarik hasilnya. Laporan yang saya tunggu-tunggu selama ini. 

Sempat kami bersama-sama berkongsi mengenai teknik Injek IGB yang dibuat ke atas pokok karas spesis Aquilaria Malaccensis yang tumbuh liar di kebun saya. 

Terma kasih kerana sudi bertandang. 

Semoga ada manfaatnya. 

Monday, 7 April 2014

Musim Pokok Karas Berbunga

Tanggal 06.04.2014 pelajar Masters dari Universiti Malaysia Pahang telah sudi bertandang ke tempat projek inokulasi menggunakan IGB911. Cik sufi yang menjurus kajian ke atas Inokulan dan Cik Asma yang gigih menjalankan kajian ke atas daun karas. Gembira saya menerima kedatangan mereka dengan ditemani rakannya dari Kolej Shahputra, Pahang yang memiliki kepakaran tersendiri. Cukup banyak perkara yang saya pelajari terutamanya mengenai sains gaharu. 

Dalam pertemuan tersebut Cik Sufi telah membentangkan hasil ujian makmal yang dibuat ke atas Inokulan Gaharu Biotech. Ianya adalah suatu berita yang tidak disangka- sangka dan cukup menggembirakan saya. Sudah lama saya mengimpikan hasil lapuran sedemikian. Insya Allah saya kongsikan hasil pertemuan tersebut pada entri yang akan datang. 

Agak lama saya tidak menjengah tapak projek inokulasi IGB911. Sedikit sibuk dengan jelajah inokulasi dan beberapa program gaharu lainnya. Rupanya pokok karas yang telah diinjek dengan IGB911 sedang berbunga. Alhamdulillah. 

Saya sememangnya bercadang untuk membiakkan anak pokok spesis Aquilaria Malaccensis yang mempunyai teras hasil Injek IGB. Saya diberitahu bahawa pokok karas  yang induknya telah mempunyai teras akan menurunkan genetiknya ke anak pokok lainnya. Bermakna anak pokok yang induknya telah mempunyai teras gaharu, Insya Allah akan mudah menghasilkan gaharu selepas diinjek.  Lebih mudah bermakna menghasilkan gaharu lebih banyak. 

Kebetulan pula pagi tadi dalam perbualan telefon dengan tuan shuhaimi dari MTIB, beliau menyarankan saya menanam pokok karas sekurangnya 4 ke 5 ekar. Mudah mudahan jalan ini terus dipermudahkanNya. 

Inilah antara pokok karas Spesis Aquilaria Malaccensis yang telah diinjek dengan IGB911 dan mula berbunga dengan lebatnya. 

Semoga terus dipermudahkanNya. 






Sahabat gaharu yang sudi bertandang. 

Wednesday, 2 April 2014

Hasil Inokulasi IGB Selepas 10 bulan Inokulasi - Aquilaria Subintegra

Alhamdulillah. Minggu yang cukup sibuk. Namun begitu saya usahakan juga untuk mengemaskini gambar Teras IGB selepas 10 bulan Inokulasi menggunakan Inokulan Gaharu Biotech (IGB).  

Selepas 6 bulan pokok  karas ini di injek, ianya mula tumbang. Suatu perkara biasa bagi pokok karas spesis Aquilaria Subintegra kerana ianya tiada akar tunjang. Pokok jenis ini biasanya berasal dari negara Thailand yang terhasil dari teknologi tisu kultur. Pokok tersebut tumbang bukan disebabkan oleh inokulasi yang dibuat terhadapnya tetapi kerana akar tunjang terlalu pendek untuk menampung ketinggian dan berat pokok karas. 

Pokok itu kemudiannya cuba ditegakkan dan tindakan tersebut menyebabkan akar terputus dan akhirnya mati perlahan lahan. Selepas 4 bulan terbaring di atas tanah, pokok ini ditebang oleh tuan hj Shamsor untuk melihat kesan tindakbalas pokok karas spesis Aquilaria Subintegra terhadap Inokulan Gaharu Biotech - IGB. 

Inilah hasil teras IGB selepas 10 bulan inokulasi. 

Semoga ada manfaatnya. 









Lubang tempat IGB di Injek. 

 

Thursday, 20 March 2014

Bintik-Bintik Minyak Jelas Kelihatan Pada Hasil Teras IGB711 Berusia 10 Bulan

Semalam saya menerima pertanyaan dari pembaca laman blog ini. Kagum saya dengan beliau yang merupakan orang pertama membaca posting mengenai hasil teras IGB di Lenggeng, Negeri Sembilan sejurus saya kongsikanya melalui laman Facebook.  Beliau menanyakan adakah teras IGB yang saya  paparkan itu merupakan teras minyak. 

Saya pernah membicarakannya sebelum ini iaitu teras bakar yang baik adalah setelah 2 tahun inokulasi dan bagi teras IGB yang berusia di bawah 1 tahun inokulasi, ianya merupakan teras minyak. Iaitu teras yang mampu menghasilkan minyak gaharu yang berkualiti tinggi.  Semuanya dengan izin Allah. 

Dengan IzinNya juga dapat saya merakamkan kesan bintik-bintik minyak pada kayu gaharu tersebut. Gambar tersebut dirakam saat menghampiri jam 12 tengah malam di bawah cahaya lampu yang kurang terang. Terima kasih kepada Tuan hj Shamsor yang dengan susah payahnya membawa kayu gaharu tersebut untuk saya lihat sendiri walaupun harus menempuh malam yang hening.  Mudah mudahan usaha ini mendapat redhaNya. 

Semoga ada manfaatnya. 











Teknik Injek IGB - Aquilaria Malaccensis

Baharu sahaja tadi saya dihubungi oleh rakan Facebook bertanyakan bagaimana menginokulasi pokok karas spesis Aquilaria Malaccensis. Seperti posting saya sebelumnya saya menjanjikan akan berkongsi teknik Injek IGB bagi spesis Aquilaria Malaccensis.

Cara-caranya:-

+ 1 lubang diisi sebanyak 150ml  IGB911. 

+ Setiap 10 inci ukurlilit pokok karas, gunakan 150ml IGB911. Sekiranya ukurlilit pokok karas adalah 20 inci,  buat 2 lubang bagi setiap tingkat. Cuma pastikan ke dua -dua lubang tersebut tidak bertembung di tengah-tengah. 

+ Jarak antara lubang pertama dari tanah adakah maksima 2 kaki.

+  Jarak antara tingkat pertama ke tingkat ke dua dan seterusnya adalah 4 kaki. Seeloknya tidak melebihi 5 kaki. 

= Perbezaan teknik Injek IGB bagi spesis Aquilria Malaccensis adalah pada jarak lubang antara tingkat ke 2, 3 dan seterusnya. Ini adalah kerana pokok spesis A. Malaccensis lebih mudah menyerap IGB berbanding spesis A. Subintegra dan A. Crassna. Kayu A. Malaccensis adalah lebih lembut dah lebih mudah menyerap IGB. 

Bagi pokok karas spesis Aquilaria malaccensis yang melebihi 30 inci ukurlilitnya, jumlah penggunaan IGB bagi satu lubang adalah berbeza. Insya Allah saya kongsikan kemudian. 


Saya kongsikan gambar pokok karas spesis Aquilaria Malaccensis ketika Tim Injek IGB melakukan tugas di Sepang, Selangor pada 15 Februari 2013 yang lalu. 

Semoga ada manfaatnya. 





Wednesday, 19 March 2014

Teras IGB711 selepas 10 bulan

Tanggal 16.04.2014 saya bertemu tuan hj Shamsor diBangi, Selangor. Cukup teruja untuk melihat hasil teras gaharu dari IGB711 yang di 'carving' sendiri oleh beliau. Cukup cantik hasil kerja tangan beliau meskipun inilah pertama kali beliau mengeluarkan teras gaharu dari pokok karas yang telah diinjek. Saya sendiri tiada kemahiran untuk menghasilkan sedemikian bentuk. 

Sempat saya merakamkan beberapa keping gambar untuk dipaparkan di laman blog ini.  Hasil teras gaharu spesis Aquilaria Crassna selepas 10 bulan inokulasi menggunakan Inokulan Gaharu Biotech. 

Semoga ada manfaatnya. 




Monday, 17 March 2014

Inokulasi Menggunakan IGB711 di Lenggeng, Negeri Sembilan

Agak lama saya tidak mengemaskini laman blog ini. Ada yang bertanyakan adakah saya masih aktif dengan gaharu. Kebelakangan ini saya lebih menumpukan kepada Facebook. Banyak aktiviti-aktiviti gaharu saya dimuat naik ke laman Facebook. Tidak dinafikan Facebook lebih mudah dan cepat untuk memuat naik gambar aktiviti-aktiviti gaharu berbanding laman blog. Sungguhpun begitu, setelah melihat bilangan pageview blog ini semakin banyak hingga mencecah lebih135,000 pageview, saya semakin bersemangat untuk mengemaskini di laman blog ini meskipun ia mengambil masa yang agak lama untuk mencatatkan sesuatu di sini. 


Pada awal tahun 2013, Tuan Hj Shamsor menghubungi saya untuk membantu beliau menginokulasi pokok karas jagaannya di Lenggeng, Negeri Sembilan. Bermula dengan pertemuan di ladang karas ini terus membawa kami kepada persahabatan sehinga ke hari ini. Baharu semalam beliau sudi menjengah saya di Bangi, Selangor. Beliau membawa khabar gembira hasil dari inokulasi di Lenggeng, Negeri Sembilan selepas 10 bulan di inokulasi dengan Inokulan Gaharu Biotech. 

Insya Allah saya kongsikan khabar gembira tersebut. 

Semoga ada manfaatnya. 




Saturday, 15 March 2014

Teknik Injek IGB - A. Subintegra dan Crassna

Banyak pertanyaan saya terima bagaimana mendapatkan jumlah Inokulan yang diperlukan untuk sebatang pokok. Alhamdulillah. Hari ini berkesempatan saya berkongsi teknik Injek IGB dan mengira keperluan IGB911 untuk sebatang pokok. Teknik ini hanya untuk pokok karas spesis Aquilaria Subintegra dan crassna sahaja. 

Cara-caranya:-

+ 1 lubang diisi sebanyak 150ml  IGB911. 

+ Setiap 10 inci ukurlilit pokok karas, gunakan 150ml IGB911. Sekiranya ukurlilit pokok karas adalah 20 inci,  buat 2 lubang bagi setiap tingkat. 

+ Jarak antara lubang pertama dari tanah adakah maksima 2 kaki.

+  Jarak antara tingkat pertama ke tingkat ke dua dan seterusnya adalah maksima 3 kaki. 

= Bagi pokok berukurlilit 12 inci dengan ketinggian 8 kaki misalnya memerlukan sekurangnya 450ml      IGB911. 


Bagi pokok karas spesis Aquilaria malaccensis, ada sedikit perbezaan sahaja. Insya Allah saya kongsikan kemudian. 

Semoga ada manfaatnya. 








Inokulasi menggunakan IGB ketika musim kemarau

Alhamdulillah. Pada awal Mac 2014, Tim Injek IGB selesai melaksanakan tugas dengan begitu baik sekali. Sebanyak 100 pokok karas spesis Subintegra dan crassna telah di Injek menggunakan Inokulan Gaharu Biotech (IGB) di Hulu Bernam, Selangor. Bahang cukup terasa meskipun di bawah rimbunan daun pokok karas yang menghijau. Musim kemarau.  

Saya juga menerima pertanyaan dari sahabat gaharu. Adakah musim kemarau Ini tidak sesuai untuk inokulasi pokok karas. 

Pokok karas yang memiliki ciri-cri berikut adalah matang dan sesuai untuk di inokulasi. 

+ usia pokok melebihi 4 tahun. 

+ ukurlilit pokok melebihi 12 inci yang dikira pada paras 4 kaki dari tanah. 

+ daun pokok masih hijau dan banyak. 

+ pokok karas tidak bergoyang ketika ditolak dengan tangan. Akar pokok adakah kemas dan kukuh. 

+ pokok karas adalah sihat dan segar ketika inokulasi. 

+ pokok karas berada dalam keadaan menegak dan tidak condong. Kecuali sistem akarnya cukup kemas dan kuat. 

- pokok karas yang condong tidak digalakkan di inokulasi kecuali menggunakan teknik-teknik inokulasi yang tertentu. 

Semoga ada manfaatnya. 



Thursday, 27 February 2014

Teras Gaharu Terhasil hingga Ke Tunggul

Pada 08.02.2014, dalam kesibukan Tim Injek IGB menjelajah ke serata Semenanjung Malaysia untuk memenuhi permintaan pengusaha pokok karas untuk menyuntik pokok karas mereka sempat juga saya merakamkan kesan tindakbalas igb711 selepas 1 tahun 6 bulan disuntik.  

Kesan teras gaharu ketara kelihatan hingga menjalar ke tunggul. Agak lewat saya tiba ke tempat projek inokulasi yang lebih 1 tahun di inokulasi. Tunggul tersebut terpaksa saya biarkan di situ kerana hari semakin gelap. 

Insya Allah jika dipanjangkan umur dan diberi kelapangan olehNya, saya tunjukkan kesan teras di tunggul untuk bersama sama kita mendapatkan manfaatnya. 


Semoga ada manfaatnya. 



Tuesday, 25 February 2014

Cara Mengetahui Adanya Resin Gaharu


Pada pertemuan saya dengan ustaz yahya dari Gurun, Kedah lebih sebulan yang lepas. Beliau memberitahu bagaimana mengetahui kehadiran resin gaharu pada teras gaharu. 

Caranya adalah menyuluh teras gaharu tersebut menggunakan cahaya lampu yang terang. 
Cahaya lampu dari handphone juga sudah memadai. 

Kayu gaharu yang mempunyai resin yang tinggi akan kelihatan merelip merelap atau berkilauan tatkala disuluh dengan lampu.  Jika resin yang lebih banyak terhasil, kayu tersebut akan ketara kelihatan bintik bintik minyak terbit dari kayu gaharu tersebut. 

Ini adalah teras gaharu yang terhasil dari igb711 pada usia inokulasi 1 tahun 4 bulan. 

Semoga ada manfaatnya. 





Monday, 25 November 2013

Hasil inokulasi menggunakan Inokulan Gaharu Biotech (IGB 711) selama 1tahun 4 bulan

Alhamdulillah. Kesan yang dilihat hasil tindakbalas menggunakan Inokulan Gaharu Biotech semakin menggembirakan saya. Ini adalah hasil dari inokulasi menggunakan Inokulan Gaharu Biotech (IGB 711) selama 1 tahun 4 bulan. Teras yang terhasil tidak mereput, Insya Allah. Cuma pastikan ianya tidak dimasuki air.

Teras yang terhasil banyak bergantung kepada teknik inokulasi yang dibuat. Satu lubang menghasilkan saiz teras yang berbeza berbanding dengan dua atau tiga lubang. Pada pemerhatian saya, teras yang yang terhasil menggunakan teknik lubang inokulasi yang banyak adalah lebih banyak terasnya.

Semoga ada manfaatnya.





Hasil inokulasi pada paras 10 kaki.

Wednesday, 20 November 2013

Inokulan Gaharu Biotech 911

Alhamdulillah, dipanjatkan kesyukuran kepada Allah tuhan sekalian alam. Inokulan Gaharu Biotech (IGB) telah menjangkau usia 3 tahun. Urusan menghasilkan IGB terus dipermudahkanNya sehingga terhasil IGB 911. 

Hasil inokulasi yang gagal semakin menggegar pengusaha gaharu. Kedengaran sana sini, pelaburan yang dibuat ke atas inokulasi pokok gaharu tidak gah seperti hasil yang dijanjikan. Kedengaran juga ada antara mereka yang hilang tanpa cerita atau mengelakkan diri atas alasan  itu dan ini. Hal ini hingga membawa putus asa di kalangan pengusaha gaharu.

Bahkan di negara jiran misalnya ada penghasil vaksin gaharu yang telah dijatuhkan hukuman mati lantaran janji yang diberi tidak seperti hasil yang diperolehi. Memberikan janji setinggi langit kepada petani gaharu tanpa berjaya membuktikannya adalah menjadi kesalahan yang cukup besar di negara jiran ini. Saya cukup kagum dengan kesungguhan mereka dalam menjaga martabat pertanian di mata rakyat mereka. 

Menghasilkan gaharu secara budi daya tidak semudah seperti yang dijangka. Banyak faktor penyebab perlu diperhalusi dalam menghasilkan Inokulan. Bukan dengan cara mendengar, melihat dan terus meniru. Setiap pokok karas memberikan tindakbalas yang berbeza beza.


IGB 911 dihasilkan dengan menambah baik formula sedia ada dan setelah diuji dilapangan terbukti menghasilkan teras gaharu yang lebih baik dari IGB sebelumnya. Harga Inokulan Gaharu Biotech (IGB 911) yang ditawarkan adalah RM200 seliter. Penghantaran adalah percuma.

Saya kongsikan hasil IGB 911 nanti. Insya Allah.

Semoga ada manfaatnya.

Monday, 29 April 2013

Pokok Karas Sakit keluarkan Gaharu, Manusia Sakit Keluar Apa...

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah.

Tanpa sedar rupanya saya mengambil masa lebih 4 bulan untuk berkongsi sesuatu dalam laman blog ini. Satu jangka masa yang agak lama. 1/3 tahun lamanya. Kekangan broadband yang cukup lemah untuk mengemaskini laman blog.  Juga kekangan kesihatan yang memaksa saya berehat panjang.

Cukup terharu apabila saya menerima panggilan telefon, SMS juga pesanan Facebook yang merisik berita kenapa sangat lama tidak mengemaskini laman blog ini. Saya katakan kekangan kesihatan yang cukup memaksa dari meneruskan berkongsi sesuatu mengenai gaharu. Hampir tiada tenaga.

Cukup terharu apabila dihadiahkan makanan kesihatan oleh sahabat-sahabat gaharu dengn di iringi doa semoga cepat sembuh. Memberikan apa yang ada pada mereka walhal mereka sendiri juga memerlukannya. Memberikan pelbagai petua kesihatan yang sehingga kini saya amalkan.

Ada kalanya saya terpaksa merangkak keluar dari pintu rumah. Menahan lelah yang semakin menjerih hanya semata mata tidak mahu menghampakan janji sahabat gaharu yang datang dari jauh beratus-ratus kilometer.

Hampir tiada daya hingga terpaksa menolak temujanji dengan sahabat gaharu.
Hampir tiada daya untuk membalas SMS. Hanya terbaring di pembaringan.
Hampir tiada daya untuk membalas pertanyaan dari Facebook.
Hampir tiada daya untuk menjawab panggilan telefon. Saya tidak mahu suara kesakitan saya didengar oleh sahabat gaharu.

Namun saya masih menerima tempahan Inokulan Gaharu Biotech meskipun pada masa itu saya berada di wad.
Namun saya masih mengambil tempahan Inokulan Gaharu Biotech meskipun beberapa minit lagi saya akan diusung ke Dewan Bedah.

Tatkala itulah tempahan Inokulan Gaharu Biotech saya agak lewat dihantar. Saya katakan saya berada di wad pada waktu itu dan penghantaran adalah sedikit lewat. Sungguh saya tidak mahu menghampakan sahabat-sahabat gaharu.

Sesunguhnya selama 4 bulan juga terlalu banyak yang saya pelajari. Nikmat bersilaturahim juga nikmat kesihatan.


Waktu itulah saya sedar, pokok karas sakit keluarkan gaharu. Manusia sakit keluarlah mencari penawarnya. Kita ada tanggungjawab yang perlu dipikul. Tanpa kesihatan bagaimana kita mahu memikulnya.

Insya Allah saya terus gagahkan diri untuk terus mengisi sesuatu dalam laman blog ini. Semoga ada manfaatnya.

Sempat bergambar dengan anak bongsu beberapa minit sebelum ke bilik bedah.




Friday, 14 December 2012

Seminar Kebangsaan Dan Pameran Gaharu 2012

Alhamdulillah. Tanggal 18 Disember 2012 hingga 20 Disember 2012 akan di adakan Seminar Kebangsaan dan Pameran Gaharu 2012 di Bukit Jalil. Dengan izinNya saya dijangka membentangkan kertas kerja   'Kaedah Inokulasi dan Pengolahan Teras'. Insya Allah.

Di sinilah berkumpulnya pakar-pakar gaharu dari seluruh Malaysia membentangkan kertas kerja berkenaan industri gaharu. Cukup hebat.

Setahu saya, tahun 2010 Seminar Kebangsaan Dan Pameran Gaharu ini telah diadakan di Universiti Putra Malaysia. Bermakna 2 tahun yang lepas.

Ayuh... Bersama sama kita ke Seminar Kebangsaan dan Pameran Gaharu 2012. Jangan lepaskan peluang yang ada.

Jumpa saya di sana. Insya Allah.

Semoga ada manfaatnya.

Published with Blogger-droid v2.0.9